6 November 2023 - 17:24
Israel tolak gesaan gencatan senjata di Gaza

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak gesaan global yang semakin meningkat untuk mengisytiharkan gencatan senjata di Gaza.

Sebaliknya, pakar ketenteraan negara itu sedang menyelaras tentera darat, laut dan udara untuk memperluaskan operasi menggempur kubu Hamas di seluruh Palestin. Pada masa sama, Netanyahu menuntut keseluruhan lebih 240 tebusan yang ditawan oleh Hamas ketika serangan 7 Oktober dibebaskan segera sebelum memulakan apa-apa rundingan. "Tidak akan ada gencatan senjata tanpa pengembalian tebusan. Ini perlu dikeluarkan sepenuhnya daripada usul ini," katanya kepada kru di pangkalan tentera udara Ramon di selatan Israel.Sambil itu, beliau mengulangi kedudukan kerajaannya yang sudah lama wujud itu kekal tidak berubah pada konflik kali ini. "Kami mengatakan ini kepada kawan dan musuh kami. Kami akan meneruskan peperangan sehingga kami mengalahkan mereka. Kami tidak mempunyai alternatif," katanya. Tentera Israel menggunakan gabungan tentera darat, bersama-sama dengan kuasa udara dan tentera laut untuk menggempur Gaza dan memperluaskan pencerobohan ke jalur pantai yang sempit. Mereka memberi alasan ia bertujuan memusnahkan infrastruktur Hamas dan membunuh pemimpin kanan, serta sistem ketenteraan dan kawalannya, yang didakwa berada dalam rangkaian terowong bawah tanah di wilayah itu. Menurut sumber tentera Israel, tenteranya berjaya menyusup jauh ke Gaza, mengepung Bandar Gaza dan terbabit dalam pertempuran bandar yang semakin hampir dengan markas pejuang Hamas. Justeru, katanya, tindakan mengisytiharkan gencatan senjata atau pemberhentian sementara perang hanya akan meningkatkan risiko diserang atau kehilangan peluang melancarkan serangan. "Mereka tidak bekerja berpandukan jam dan menerima arahan untuk melakukan kerja secara profesional, langkah demi langkah sambil berusaha mengelakkan sebarang kemalangan jiwa walaupun itu tidak pasti," kata bekas Timbalan Ketua Majlis Keselamatan Negara Israel, Itamar Yaar, kepada Reuters. Beliau yang kini Pengurus Komander untuk Kumpulan Keselamatan Bekas Pegawai Kanan Pertahanan Israel, berkata kali ini tentera tidak menghadapi tekanan, seperti mana dalam operasi sebelum ini di Gaza. "Mesej yang diperoleh komander daripada komander lebih tinggi ialah lakukan tugas, jadi kami tidak tergesa-gesa. "Sekiranya Israel memenuhi objektifnya, operasi pada masa sekarang akan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga empat minggu. "Namun, ia bergantung kepada jumlah kehilangan askar ini dan kejadian yang di luar jangka," katanya. Sementara itu, Hamas menegaskan hanya akan membebaskan tebusan jika Israel membebaskan semua tahanan Palestin, kata jurucakap Briged Izz el-Deen al-Qassam, Abu Ubaida minggu lalu. Katanya, Hamas juga sedia mengadakan perbincangan mengenai perjanjian 'secara sebahagian' berhubung pembebasan tebusan. 


342/